kini
kita perlu pergi lebih jauh lagi |
Pandangan Peminat Dari Luar
Negara.
Perak membuka cabaran bolasepak Malaysia 2002
dengan cukup cemerlang walaupun menerima tamparan awal oleh pasukan Johor FC.
Namun mungkin itulah
hikmah sebaliknya. Untuk beberapa perlawanan Perak telah mula 'bersamba' serta
menunjukkan graf peningkatan yang amat menggembirakan buat seluruh rakyat negeri
Perak serta peminat setianya. Rentak samba yang diterajui oleh jurulatih Brazil,
tampak serasi serta memikat para penonton yang pasti tidak berasa rugi atas
pelaburan tiket kerana mereka pulang dengan senyuman. Pemain pula pasti lega
dapat melaksanakan tugas serta menghidupkan suasana pesta setiap kali perlawanan
di Ipoh. Kepuasan juga terhadap pihak Pengurusan Bola sepak Perak dibawah naungan
Raja Muda Perak kerana mereka nampak 'tenang' dalam memilih pemain tempatan
serta import, dan jurulatih yang terbaik dan inilah hasilnya. Dan yang berasa
gerun tentulah mana-mana pasukan lawan yang masing belum bertemu Perak.
Memang menjadi harapan kita agar Perak dapat
membolot kesemua piala tahun ini. Namun jika difikirkan dengan kehadiran semula
pemain import pada musim ini serta mempunyai sumber kewangan yang kukuh, pasukan
Perak harus berani meletakkan sasaran baru dalam era bolasepak moden kini.
Rasanya sudah tiba masa untuk kita beradu di gelanggang yang lebih tinggi
tarafnya. Tentu ramai dari kita masih ingat tentang penafian hak Pasukan Perak
oleh FAM untuk bertanding dalam Pertandingan Juara-juara Kelab Asia tidak lama
dahulu. Namun biarkan peristiwa itu berlalu. Kini kita harus bersedia untuk
merebut tempat tersebut di arena sebenar agar taraf serta mutu pasukan kita
dapat dipertingkatkan selaras dengan tahap profesional yang tulen. Mungkin
secara realistiknya kita bakal terkandas di pusingan awal, namun dari situlah
kita tetapkan sasaran tahun demi tahun agar Piala Juara-juara Kelab Asia dapat
dijulang pemain Perak serta disimpan di negeri Perak kelak. Peminat Pasukan
Perak juga pasti teringin merasa bahang pentas bolasepak yang lebih mencabar.
Dalam pada itu dapatlah kita meningkatkan martabat bolasepak negara yang sudah
lama layu di arena antarabangsa. Ini tidak mustahil.
Oleh Syawal @ Abdul Rahim Wahab
Dari London , United Kingdom