[YOB'S FOREVER CYBER
CLUB] |
|
Last up date: 17 August, 2001 |
|
Perak sedia singkir pemain rasuah |
|
SKANDAL rasuah yang menggegarkan arena bola
sepak negara hingga menyaksikan ramai pemain dikenakan tindakan pada
1994 mungkin masih berleluasa.
Setidak-tidaknya itulah pandangan pengurus Perak, Datuk Jamal Nasir Rasdi yang mengesyaki ada ‘sesuatu yang tidak kena’ berdasarkan persembahan semasa beberapa pemain pasukan Kejor Yob Kejor itu. Andaian Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PFA) itu berdasarkan persembahan menjunam secara mendadak pemain juara Piala Malaysia itu dalam tiga perlawanan terakhir. Keyakinan Jamal Nasir itu juga kuat selepas mendapat maklum balas daripada pegawai-pegawai pasukan lain. “Saya mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena. Mungkin ia disengajakan, pakatan dan gara-gara gejala rasuah,” katanya kepada pemberita selepas melawat Velodrom Rakyat, pagi semalam. Berikutan itu PFA katanya akan membuat siasatan mendalam berhubung kegagalan pemain mempamer persembahan berkesan. Menurutnya, wujud keraguan kenapa penyerang tidak mahu menjaringkan gol walaupun mempunyai peluang terbuka berbuat demikian. Gejala itu begitu ketara ketika Perak bertemu Pahang di Ipoh, Sabtu lalu yang menyaksikan tuan rumah tumpas 1-3. Katanya, PFA mula mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena selepas kekalahan 0-3 kepada Pulau Pinang di Stadium Batu Kawan diikuti kekalahan kepada Pahang walaupun sebelum itu seri 1-1 dengan Selangor di Shah Alam dan menumpaskan Sarawak 2-0 di Kuching. Menjawab soalan sama ada pihaknya akan membuat aduan kepada pihak Badan Pencegah Rasuah (BPR), Jamal Nasir berkata perkara itu akan dibawa ke mesyuarat jawatankuasa pengurusan pasukan. Apapun sebagai langkah pertama, Jamal Nasir berkata dia akan mengkaji semula kontrak pemain dan akan mengambil tindakan sewajarnya termasuk memotong segala insentif serta penggantungan. “Jika ada peruntukan dalam perjanjian yang membolehkan kontrak pemain itu ditamatkan, saya tidak akan ragu-ragu berbuat demikian,” katanya. Katanya dia sudah memberi amaran kepada pemain sebelum perlawanan dengan Kuala Lumpur di Ipoh, malam kelmarin. Dalam pertemuan itu Perak seri 1-1. “Pemain sudah pasti tidak akan terkejut dengan tindakan terhadap mereka itu kerana amaran sudah diberikan sebelum turun menentang Kuala Lumpur,” katanya. Beliau yang juga Pengerusi jawatankuasa Pembangunan Tenaga Manusia, Belia dan Sukan kecewa dengan persembahan pasukan itu setakat ini dan berharap dapat membanteras gejala itu bagi mengelak kemusnahan Perak. Jamal Nasir juga menafikan kemerosotan prestasi pasukan itu ada kaitan dengan ketiadaan jurulatih tetap, Karl Heinz Weigang yang diarahkan pulang oleh Jabatan Imigresen Perak pada 31 Julai lalu. Menurut Jamal walaupun Weigang kini berada di Ipoh, dia tidak mengetahui sebab sebenar jurulatih berbangsa Jerman itu pulang ke Ipoh sehari sebelum perlawanan dengan Pahang pada 11 Ogos lalu. “Setakat ini dia belum menghubungi saya dan jika dia masih berminat untuk mencurahkan khidmat kepada pasukan Perak, perkara itu akan dibawa kepada pengetahuan jawatankuasa pengurusan,” katanya Sumber : Berita Harian 16/8/2001 |