[YOB'S FOREVER CYBER
CLUB] |
|
Last up date: 05 August, 2001 |
|
Perak pertikai dakwaan Khalid diberi kad kuning
PERAK mempertikai dakwaan penyerangnya,
Mohd Khalid Jamlus dilayangkan kad kuning ketika menentang Sarawak di
Kuching, malam kelmarin.
Pengendali sementara pasukan Seladang, Mohd Zakaria Mohamed terkejut apabila membaca laporan akhbar bahawa penyerang kebangsaan itu mengutip kad kuning. Sambil menafikan Khalid yang mengutip kad kuning itu, Mohd Zakaria berkata sebenarnya pengadil, Manjit Singh melayangkan kad itu kepada kembar Sarawak, Ramles dan Ramos Sari. “Khalid tidak mengasari Ramos sebaliknya memenangi bola dengan cara yang adil. “Bagaimanapun kaki Ramos yang terselit menyebabkan pemain itu jatuh. “Ekoran itu Ramles meluru dari belakang lantas menumbuk Khalid. “Berikutan itu pengadil melayangkan kad kepada Ramles dan kemudian Ramos,” katanya. Apapun Zakaria berkata, Perak akan menyemak dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenai perkara itu. “Jika laporan pengadil mengatakan Khalid dilayangkan kad kuning, kami akan membuat protes,” katanya sekembali dari Negeri Bumi Kenyalang petang semalam. Zakaria kecewa dengan dakwaan bahawa anak buahnya bermain kasar sedangkan pasukan tuan rumah yang mengamalkan corak lasak dalam usaha menembusi benteng Perak. “Ia laporan berat sebelah oleh pemberita Sarawak. Mereka sepatutnya membuat laporan berdasarkan fakta sebenar,” katanya. Apapun Zakaria berkata tanda-tanda Perak menemui detik kecemerlangan dalam kancah bola sepak Liga Perdana Satu semakin jelas terbayang berdasarkan persembahan mantap dalam dua perlawanan terakhir mereka, setakat ini. Bagi Zakaria, aksi lancar anak buahnya membayangkan seolah-olah mereka sudah bebas daripada belenggu yang merantai selama ini untuk mengutip empat mata daripada dua perlawanan setakat ini. “Mereka bermain dengan seronok dan tidak terasa sebarang tekanan. Ini menyebabkan pergerakan pasukan lancar, lantaran itu membuahkan ganjaran lumayan dalam dua perlawanan kami,” katanya. Lebih membanggakan Zakaria ialah persembahan mantap Azrul Amri Burhan yang masuk menggantikan Shamsul Akmar Japperi, malam kelmarin. “Azrul nyata membawa perubahan besar kepada corak pasukan. Selain mencipta peluang untuk rakan pemain itu juga mempunyai peluang menjaringkan gol,” katanya. Zakaria berkata penjaga gol, Azlisham Ibrahim juga tidak menghampakan walaupun tidak begitu diuji oleh lawan. “Dia melakukan apa yang patut dilakukan oleh seorang penjaga gol iaitu menyekat bola daripada membolosi gawang apabila perlu,” katanya. |