www.yob.4ever.cc

[YOB'S FOREVER CYBER CLUB]
Laman Web Penyokong Bola Sepak Perak Darul Ridzuan
"kejor yob kejor"

Last up date: 05 August, 2001

yob4ever@hotmail.com

Weigang berlepas pulang

EPISOD empat tahun bersama Perak berakhir semalam apabila jurulatih kontroversi, Karl Heinz Weigang memilih untuk pulang ke Jerman selepas gagal mencapai kata sepakat dengan Persatuan Bolasepak Perak (Pafa) berhubung kontraknya bersama skuad Seladang.

Weigang yang membawa Perak menjuarai Piala Malaysia sebanyak dua kali iaitu pada 1998 dan tahun lalu, pulang ke Munich, malam tadi dengan menaiki pesawat Singapura dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira jam 8.30 malam.

Kepulangan Weigang turut diiringi beberapa pegawai Jabatan Imigresen di KLIA.

Mengikut maklumat penerbangan, pesawat yang dinaiki Weigang akan singgah selama beberapa jam di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura sebelum meneruskan penerbangan ke Munich, kira-kira 11 malam.

Pengarah Jabatan Imigresen Perak, Ishak Mohamed, berkata beliau mendapat maklumat Weigang sudah menempah tiket penerbangan terbuka untuk pulang ke negara asalnya.

“Berdasarkan maklumat, penerbangan ke Munich akan singgah di Perancis.

“Tiket terbuka itu juga mengesahkan Weigang akan pulang semula ke Singapura dan kembali ke Kuala Lumpur tetapi pada tarikh yang tidak dinyatakan,” katanya di Ipoh, semalam.

Ishak berkata, tidak menjadi kesalahan jika Weigang mahu kembali ke Kuala Lumpur kerana permit perniagaan yang dimiliki jurulatih itu berkuatkuasa sehingga 18 Oktober depan.

“Weigang diminta meninggalkan negara ini selepas gagal mencapai kata sepakat dengan Pafa berhubung kontrak jurulatih yang masih belum ditandatanganinya.

“Sehubungan itu, sudah pasti Weigang boleh kembali ke Malaysia dan menetap di negara ini sehingga tempoh ditetapkan asalkan tidak menyalahi peraturan permit,” katanya.

Ishak berkata, Weigang ada memberitahunya bahawa dia mempunyai perasaan tersendiri terhadap tiga negara yang pernah didiaminya iaitu Malaysia, Jerman dan Vietnam.

“Dia ada beritahu saya bahawa Malaysia `dekat’ di hati selain sayang kepada negara tanah tumpah darahnya,” katanya.

Malam semalam, Weigang dilihat bersama Setiausaha Pafa, Najri Hamid di Hotel Royal Casuarina, di Ipoh tetapi tidak diketahui tujuan pertemuan itu

Sumber Berita Harian