www.yob.4ever.cc

[YOB'S FOREVER CYBER CLUB]
Laman Web Penyokong Bola Sepak Perak Darul Ridzuan
"kejor yob kejor"

Last up date: 05 August, 2001

yob4ever@hotmail.com

PAFA cuba pujuk Weigang

PERSATUAN Bola Sepak Perak (PAFA) dikatakan sedang cuba memujuk Karl Weigang dalam usaha membawa jurulatih Jerman itu kembali membimbing pasukan Seladang, lapor MOHD. TAUFEK RAZAK.

Lebih menguatkan lagi spekulasi itu ialah Weigang telah pun menempah tiket terbuka untuk kembali semula ke Malaysia daripada Copenhagen (Denmark) ke Perancis sebelum ke Singapura dan Kuala Lumpur pada tarikh yang belum ditetapkan lagi.

Weigang meninggalkan negara ini malam tadi menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang menaiki penerbangan Singapura Airline SQ117 menuju ke Singapura sebelum menaiki penerbangan Lufthansa ke Munich (Jerman) dan Copenhagen sebagai memenuhi arahan Jabatan Imigresen negara ini.

Beliau mempunyai masa sebelum 18 Oktober depan untuk kembali ke Malaysia kerana pada tarikh itu, pas lawatan sosialnya di negara ini akan tamat tempoh.

Sumber-sumber PAFA berkata, usaha sedang dilakukan untuk memenuhi tuntutan-tuntutan yang dibuat Weigang demi menyelesaikan pertikaian ini dengan cara baik sebagai memenuhi aspirasi dan sumbangan penyokong-penyokong Perak selama ini.

Perbincangan dari hati ke hati dengan Weigang juga sedang diatur secepat mungkin kerana PAFA percaya masih ada ruang yang membolehkan kedua-dua pihak mencapai kata sepakat mengenai syarat-syarat kontrak yang ditawarkan.

``Kita percaya Weigang akan kembali semula membimbing Perak kerana dia telah menyatakan bahawa dia masih berminat dengan tugas itu manakala PAFA juga masih sayangkan Weigang dan bersedia memenuhi tuntutan Weigang serta bersetuju mengubah beberapa syarat dalam kontrak yang gagal dipersetujui kedua-dua pihak sebelum ini.

Sementara itu, Timbalan Presiden PAFA yang juga pengurus pasukan Perak, Datuk Jamal Nasir Rasdi ketika dihubungi enggan mengulas mengenai kemungkinan Weigang akan kembali membimbing Perak.

Katanya, soal itu tidak timbul buat masa ini kerana pihaknya sedang berusaha untuk menumpukan perhatian kepada perlawanan-perlawanan Liga Perdana seterusnya.di bawah bimbingan penolong jurulatih, Mohd. Zakaria Mohamad dan Talib Saidi.

``Kita akan tengok perkembangan pasukan dalam dua atau tiga perlawanan selepas ini sebelum kembali memikirkan untuk mencari jurulatih lain. Tetapi mengenai Weigang belum ada apa-apa lagi yang boleh saya katakan.

``Saya juga tak dapat bertemu Weigang lagi walaupun sebelum ini saya memang bercadang untuk berbincang dengannya sebelum beliau keluar daripada negara ini malam ini (tadi), ujarnya

Sumber Utusan Malaysia 1/8/2001